Hikmah Berdiam Diri




Hikmah Berdiam Diri


Manusia berbicara atau bercakap setiap masa. Berbicara merupakan satu bentuk komunikasi semula jadi. Bicara yang baik akan membawa keselamatan dan kebaikan kepada manusia.

Jika bicara tidak mengikut adabnya, manusia akan merana di dunia dan di akhirat. Oleh itu, diam adalah benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia.

Antara hikmah berdiam diri:

1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah.

2. Perhiasan tanpa berhias.

3. Kehebatan tanpa kerajaan.

4. Benteng tanpa pagar.

5. Kekayaan tanpa meminta maaf kepada orang.

6. Istirehat bagi kedua Malaikat pencatat amal.

7. Menutupi segala aib.

Mengenai diam, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang banyak perkataannya (bercakap), nescaya banyaklah silapnya. Barang siapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. Dan barang siapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya." (Hadis riwayat Abu Naim)

قوله صلى الله عليه وسلم : من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرا أو ليصمت

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam."

Dalam sebuah hadis lagi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa diam maka dia terlepas dari bahaya." (Hadis riwayat At-Tarmizi)

Madah dari hukama':

* Banyak diam tidak semestinya bodoh, banyak cakap tidak semestinya cerdik kerana kecerdikan itu buah fikiran, orang cerdik yang pendiam lebih baik daripada orang bodoh yang banyak cakap.

* Menasihati orang yang bersalah tidak salah. Yang salah ialah memikirkan kesalahan orang lain.